Friday, July 23, 2010

Jumaat Itu, Bersama Tok Guru.,


Alhamdulillah, sampai ke hari ini masih dikurniakan dengan dua nikmat terbesar, iaitu nikmat Iman dan Islam. Juga terima kasih buat-Nya yang meminjamkan sedikit iradat (kekuatan)-Nya buat diriku, untuk terus kuat belajar mengenali Islam dengan lebih dekat lagi. Saban tahun, merasakan diri ini amat bertuah ditaqdirkan untuk melanjutkan pengajian di bumi penuh rahmat ini, iaitu Kelantan Darul Na'im. Suatu tempat yang pada mulanya begitu asing, namun kini ianya menjadi suatu perkara yang tersemat di dalam hati ini.

Kelantan, pelbagai ragam dan reaksi manusia memberikan pandangan masing-masing mengenainya. Ada yang suka, ada yang tidak. Ada yang dikhabarkan mengenainya yang baik-baik, namun ada juga yang buruk. Bagi saya, mahu tahu lebih mengenai Kelantan, silakanlah duduk menetap di Kelantan terlebih dahulu sebelum mengeluarkan apa-apa 'statement' mengenainya.

Sebelum ini pun saya kurang arif dengan Kelantan, kurang tahu-menahu, namun sedikit sebanyak penghijrahan sementara saya di sini selama lebih 4 tahun di sini, ternyata merobah pandangan saya tentang Kelantan. Ada yang melihat keburukan Kelantan, tapi masih dilupa kekurangan negeri masing-masing. Keburukan, dan kelemahan dibesar-besarkan menenggelamkan kebaikan dan kelebihan. Kan tidak elok macam itu? Lagi pula jika yang disebar-sebarkan itu tiada asas kebenarannya, apa kan pula. Masing-masing daripada kita telah Allah kurniakan akal fikiran. Jadi, nilailah, telitilah, bukan sahaja dengan mata pancaindera kita, namun dengan mata hati jua.

Antara aktiviti yang gemar untuk lakukan di Kelantan ini, adalah menghadiri kuliah Tok Guru Nik Aziz Nik Mat yang diadakan hampir setiap pagi Jumaat di kawasan sekitar Kota Bharu. Sebelum ini, memang kurang tahu mengenai program ilmiah ini, namun selang masa memasuki dari Tahun ke-2 masuk ke Tahun ke-3, Allah mengurniakan diri ini minat dan sedikit kelapangan masa di pagi Jumaat untuk menghadiri majlis ilmu ini. Alhamdulillah, terlalu banyak yang dapat dipelajari, diteladani sepanjang mengikuti siri ceramah beliau.

Akan bersambung, sebab saya nak ke KB.,
(^____________________^)


Saturday, July 17, 2010

Muslimah Solehah Itu.,



Perkongsian dari blog best :
(http://ummuhusna99.blogspot.com/)


Muslimah solehah itu berbeza,
Kerana….
Sebelum kaki melangkah keluar pintu,
Dia bercermin penuh rasa malu,
Membelek-belek tudung dan baju,
Bukan untuk cantik, bukan bimbang dipandang tidak menarik ,
Tapi demi memastikan syari’at Allah dilaksana dengan baik,
Kepuasan diri bukan utama, kepuasan Allah itu kerisauannya.

Muslimah solehah itu berbeza,
Kerana….
Khidmat bakti dan cintanya untuk suami,
bukan kerana takutkan poligami,
bukan bimbang cinta tak bersemi,
Tapi semata patuh pada suruhan ILAHI,
Demi kasih dan cintanya kepada Nabi.

Muslimah solehah itu berbeza,
Kerana….
Walau jauh dia berada, walau setinggi mana jawatan digalasnya,
Tapi jiwa dan hati tetap pada keluarga,
Suami dan anak-anak gelanggang pahalanya,
Menyemai sakinah dan mawaddah,
yakin hadirnya rahmah dan barakah,
Rumahtangga bahagia, syurganya di dunia.

Mencari dan terus mencari cinta ILAHI.


Sunday, July 11, 2010

Tercari, Kelu, Keliru.,



Ada sesuatu yang dari dulu ku cari. Dan kini masih mencari, tercari, tetapi masih tidak ketemu. Adakah apa yang ku cari itu sesuatu yang tidak munasabah, mustahil untuk dikecap? Apakah ianya terlalu sukar untuk ditakluki? Adakah ku berhak untuk memiliki 'sesuatu' itu, jika diberi peluang dari Tuhan untuk menjumpainya? Atau mungkin ianya sekadar semudah jawaban yang ku bukan seorang yang cukup layak untuk meraihnya? Ku sedari, Allah jualah yang lebih tahu jawaban kepada semua ini.

Ku tahu, bahawa diri ini cuma sekerdil, sekecil makhluk ciptaan-Mu di dalam 'alam yang maha hebat ini. Sekadar suatu watak kecil di dalam perjalanan kehidupan yang fana ini, masih tertatih, masih belajar untuk mengerti segala-galanya yang Engkau berikan padaku. Di dalam hidup ini, terlalu banyak kemungkinan dan juga kebetulan. Segala-galanya adalah ketentuan dari-Mu. Itulah taqdir. Cuma dalam merangka tadbir hidupku, mungkin saja pantas bagiku tersesat atau tersilap membuat perhitungan, kerna ku sedar bahwa diriku hanya hamba-Mu. Justeru ya Allah, dampingiku dalam setiap langkahku moga diri ini kan senantiasa kekal di dalam jalan keredhaan-Mu.

Ya Allah ya Tuhanku, ya Rahman, ya Rahim, ku tahu Engkau jualah yang memegang hati ini. Yang menjadikannya senang pada suatu ketika, juga menenggelamkannya dalam kegelisahan dan ketidaktentuan. Justeru itu ya Allah, ku pohon kudrat-Mu beserta iradat-Mu, Engkau tenangkan dan lapangkanlah jiwa ini. Supaya bisa ku lebih tenteram dalam menelusuri gelora kehidupan ini, dan kuatkan serta tabahkan jasad yang kerdil ini, moga ianya kan bisa terus menghadapi hari demi hari, masa demi masa, saat demi saat.


Wednesday, July 7, 2010

Berjaya Bukan Mulia, Gagal Bukan Hina.,



Kejayaan kegagalan, susah senang, jatuh bangun, miskin kaya, nikmat dugaan, semua itu tertulis sebagai taqdir buat hamba-hamba Allah s.w.t. di atas muka bumi ini. Manusia gak bisa merobah taqdir (ingat dengan berdo'a bisa membaikya), namun manusia berkeupayaan dalam merancang tadbir. Lemah kuat tadbir kita (juga kebergantungan kita pada Allah) sedikit sebanyak menjadi kayu ukur kenajuan dan kemunduran kita di masa yang terkedepan.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
"Dan ketika Tuhanmu memaklumkan: Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih'."
(Surah Ibrahim 14 : Ayat 7)


"Jatuh Sekali Bukan Bermakna Jatuh Untuk Selama-lamanya. Anda Punya Potensi Untuk Bangun Kembali Asal Punya Tekad Dan Azam Dari Dalam Diri."

Ingatlah, kegagalan mahupun kejayaan di penghujung destinasi kita kelak, sesungguhnya itulah yang Allah s.w.t. rasakan yang terbaik buat diri kita. Banyak cara Allah tunaikan hajat hamba-hamba-Nya. Ada yang diminta, lantas Dia tunaikan. Ada yang memohon, Dia menangguhkan sehingga betul-betul sampai saat dia bersedia untuk memperolehnya. Dan ada juga yang tidak putus-putus berdo'a, namun Dia tidak tunaikan. Bukan mahu menzalimi hamba-Nya, tetapi Dia lebih arif tentang apa yang Dia aturkan jauh lebih baik, jauh lebih bermakna dari yang dipinta. Allah tahu apa yang kita PERLU, sedangkan kita cuma terbatas mengetahui apa yang kita MAHU sahaja.

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :
" Demi Allah yang jiwaku ditangannya !Tidaklah Allah memutuskan sesuatu ketentuan bagi seorang mukmin melainkan mengandungi KEBAIKAN baginya. Dan tiadalah kebaikan itu kecuali bagi MUKMIN. Jika ia memperolehi keGEMBIRAan dia berterima kasih bererti keBAIKan baginya , dan jika ia ditimpa keSULITan dia bersabar bererti keBAIKan baginya."
( Hadith Riwayat Muslim )


"Kejayaan Bukan Suatu Kemuliaan, Kegagalan Juga Bukan Suatu Kehinaan"

Bila kita berjaya, bukan bermakna kitayang terbaik, dan juga bukan bermakna kita jauh lebih mulia dari mereka yang kurang bernasib baik. Begitu juga halnya bila kita ditimpa kegagalan. Itu tidak bermaksud kita tidak cerdik, tidak pandai mengurus tadbir, dan kita ini hina di pandangan yang lain. Cuma mungkin ini belum masa kita. InsyaAllah akan sampai suatu masa kita akan betul-betul bersedia untuk menerima kejayaan itu dan menghargainya sebaik mungkin. Ujian Allah bermacam bentuk, senang itu ujian, susah itu juga ujian. Allah hendak lihat adakah bila kita diberi nikmat atau ditimpa kesusahan, kita kan selalu mensyukuri-Nya, dan makin dekat dengan-Nya, ataupun buruk kata menjadi terus lalai dan jauh dari-Nya. Nauzubillahi min zaliq, mohon dijauhkan dari sifat-sifat sebegini. Istidraj adalah suatu ungkapan bilamana seorang hamba-Nya yang jauh dari seruan 'Amal Makruf, Nahi Mungkar' yang diperintahkan-Nya, lalu dikurniankan dengan lebih nikmat, dengan tujuan untuk menyebabkan semakin lalai, semakin sombong. Berhati-hatilah.

"Insan Yang Berjaya Adalah Insan Yang Memaksa Dirinya Untuk Berubah, Insan Yang Gagal Pula Adalah Insan Yang Terpaksa Mengubah Dirinya, Manakala Orang Yang Lebih Gagal Adalah Mereka Yang Terus Menyalahkan Keadaan Tanpa Berusaha Merobah Keadaan Dirinya."


Bersambung. Cari Idea.,




Tuesday, July 6, 2010

Di Mana Nilai Hijab Anda?.,



(Sekadar perkongsian, artikel yang bagus dari

Salam kepada semua, artikel yang disediakan ini diambil dari kawan saya iaitu Ustaz Khir semasa Kursus Diploma Pendidikan UPS-MARA di KPTM Bangi Selangor. Saya tertarik dengan artikelnya dan disiarkan sebagai perkongsian untuk semua. Mudah-mudahan artikel ini dapat memberikan manfaat untuk semua.

Bila wanita menjaga auratnya dari pandangan lelaki bukan muhram, bukan sahaja dia menjaga maruah dirinya, malah maruah wanita mukmin keseluruhannya. Harga diri wanita terlalu mahal. Sebab itu syariat menetapkan supaya wanita pakaiannya adalah pakaian yang longgar dengan warna yang tidak menarik menutup seluruh badannya dari kepala sampai ke kaki.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
“Wahai Nabi! Katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mu’min semua hendaklah mereka melabuhkan jilbab-jilbab mereka atas (muka-muka) mereka. Yang demikian itu lebih memastikan mereka agar dikenali (sebagai wanita Islam) supaya mereka tidak diganggu.”
(Surah al-Ahzab : 59)

Kalau dilihat pada nilaian dunia, barang-barang berharga seperti intan dan berlian dibungkus rapi dan disimpan pula di dalam peti besi yang berkunci. Begitu juga wanita. Kerana wanita bermaruahlah dia tidak disuruh ditonjolkan tanpa keperluan yang tertentu, dengan batas-batas tertentu. Dia mesti bergelanggang dalam gelanggang yang boleh dan sesuai untuknya sahaja yang telah ditentukan garis-garisnya oleh syariat. Wanita tidak selayaknya mengorbankan maruah dan dirinya semata-mata mengejar pangkat, darjat, nama, harta dan kemewahan dunia.

Menyentuh berkenaan pakaian wanita, alhamdulillah sekarang telah ramai wanita menjaga auratnya, sekurang-kurangnya dengan memakai tudung. Dan di sana sini kita dapat saksikan para wanita kita memakai tudung. Pemakaian tudung penutup aurat sudah melanda dari orang bawah hingga orang atasan, dari peringkat pelajar-pelajar sekolah hinggalah ke pekerja-pekerja di pejabat-pejabat.

Namun begitu, pelbagai gaya tudung dipakai. Tudung kadangkala tidak lengkap dipakai, pakai tudung tapi masih nampak batang leher, nampak dada, pakai tudung tetapi di masa yang sama pakai kain belah bawah atau berseluar ketat dan sebagainya. Pelbagai warna dan pelbagai gaya tudung dipakai. Pelbagai warna dan pelbagai fesyen tudung direka untuk wanita-wanita Islam kini.

Ada rekaan tudung yang dipakai dengan songkok didalamnya, dihias pula dengan kerongsang (brooch) yang menarik. Labuci warna-warni dijahit pula di atasnya. Dan berbagai-bagai gaya lagi yang dipaparkan dalam majalah dan surat khabar fesyen untuk tudung. Rekaan itu semua bukannya untuk mengelakkan fitnah tetapi menambahkan lagi fitnah ke atas wanita.


Walhal sepatutnya pakaian bagi seorang wanita mukmin itu adalah bukan sahaja menutup auratnya malah sekaligus menutup maruahnya sebagai seorang wanita. Iaitu pakaian dan tudung yang tidak menampakkan bentuk tubuh badan wanita, dan tidak berhias-hias yang mana akan menjadikan daya tarikan kepada lelaki bukan muhramnya. Dan pakaian yang boleh melindungi wanita dari jadi bahan gangguan lelaki yang tidak bertanggungjawab.

Bila wanita bertudung tetapi masih berhias-hias, maka terjadilah pakaian wanita Islam sekarang walaupun bertudung, tetapi semakin membesarkan riak dan bangga dalam diri. Sombong makin bertambah. Jalan mendabik dada. Terasa tudung kitalah yang paling cantik,up-to-date, sofistikated, bergaya, ada kelas. Bertudung tapi masih ingin bergaya.

Kesimpulannya, tudung yang kita pakai tidak membuahkan rasa kehambaan. Kita tidak rasa diri ini hina, masih banyak dosa dengan Tuhan mahupun dengan manusia. Kita tidak terasa bahawa menegakkan syariat dengan bertudung ini hanya satu amalan yang kecil yang mampu kita laksanakan. Kenapa hati mesti berbunga dan berbangga bila boleh pakai tudung?.

Ada orang bertudung tetapi lalai atau tidak bersembahyang. Ada orang yang bertudung yang masih cari teman lelaki. Ada orang bertudung yang masih terlibat dengan pergaulan bebas. Ada orang bertudung yang masih menyentuh tangan-tangan lelaki yang bukan muhramnya. Dan bermacam-macam lagi maksiat yang dibuat oleh orang-orang bertudung termasuk kes-kes besar seperti zina, khalwat dan sebagainya.

Jadi, nilai tudung sudah dicemari oleh orang-orang yang sebegini. Orang Islam lain yang ingin ikut jejak orang-orang bertudung pun tersekat melihat sikap orang-orang yang mencemari hukum Islam. Mereka rasakan bertudung atau menutup aurat sama sahaja dengan tidak bertudung. Lebih baik tidak bertudung. Mereka rasa lebih bebas lagi.

Orang-orang bukan Islam pula tawar hati untuk masuk Islam kerana sikap umat Islam yang tidak menjaga kemuliaan hukum-hakam Islam. Walaupun bertudung,perangai mereka sama sahaja dengan orang-orang bukan Islam. Mereka tidak nampak perbezaan agama Islam dengan agama mereka.

Hadis Nabi Muhammad saw yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Ada dua golongan dari ahli neraka yang belum pernah saya lihat keduanya itu: (i) Kaum yang membawa cambuk seperti ekor sapi yang mereka pakai buat memukul orang (penguasa yang kejam); (ii) Perempuan-perempuan yang berpakaian tetapi telanjang, yang cenderung kepada perbuatan maksiat dan mencenderungkan orang lain kepada perbuatan maksiat, rambutnya sebesar punuk unta. Mereka ini tidak akan boleh masuk syurga, serta tidak dapat akan mencium bau syurga, padahal bau syurga itu tercium sejauh perjalanan demikian dan demikian.”
(Hadith Riwayat Muslim)

Lihatlah betapa besarnya peranan tudung untuk dakwah orang lain. Selama ini kita tidak sedar diri kitalah agen bagi Islam. Kita sebenarnya pendakwah Islam. Dakwah kita bukan seperti pendakwah lain tapi hanya melalui pakaian.

Kalau kita tutup aurat tetapi tidak terus memperbaiki diri lahir dan batin dari masa ke semasa, kitalah punca gagalnya mesej Islam untuk disampaikan. Jangan lihat orang lain. Islam itu bermula dari diri kita sendiri.

Ini tidak bermakna kalau akhlak belum boleh jadi baik tidak boleh pakai tudung. Aurat, wajib ditutup tapi baikilah diri dari semasa ke semasa. Tudung di luar tudung di dalam (hati). Buang perangai suka mengumpat, suka berdengki, suka berbangga, ego, riak dan lain-lain penyakit hati.

Kalau sudah mula menutup aurat elak-elaklah diri dari suka bertengkar. Hiasi diri dengan sifat tolak-ansur. Sentiasa bermanis muka. Elakkan pergaulan bebas lelaki perempuan. Jangan lagi berjalan ke hulu ke hilir dengan teman lelaki. Serahkan pada Allah tentang jodoh. Memang Allah sudah tetapkan jodoh masing-masing. Yakinlah pada pengaturan Allah.


Apabila sudah menutup aurat, cuba kita tingkatkan amalan lain. Cuba jangan tinggal sembahyang lagi terutama bila dalam waktu bekerja. Cuba didik diri jadi orang lemah-lembut. Buang sifat kasar dan sifat suka bercakap dengan suara meninggi. Buang sikap suka mengumpat, suka mengkeji dan mengata hal orang lain. jaga tertib sebagai seorang wanita. Jaga diri dan maruah sebagai wanita Islam. Barulah nampak Islam ini indah dan cantik kerana indah dan cantiknya akhlak yang menghiasi peribadi wanita muslimah.

Barulah orang terpikat untuk amalkan Islam. Baru orang bukan Islam hormat dan mengakui “Islam is really beautiful.” Semuanya bila individu Islam itu sudah cantik peribadinya. Oleh itu wahai wanita-wanita Islam sekelian, anda mesti mengorak langkah sekarang sebagai agen pengembang agama melalui pakaian.

-Tamat-

*Di bawah ini saya lampirkan keratan gimana Islam mensyariatkan seorang muslimat dalam berbusana.




(Boleh klik pada gambar untuk lihat dengan lebih jelas)

*InsyaAllah, apa yang baik yang disampaikan dalam artikel ini boleh diambil sebagai suatu muhasabah terhadap diri kita. Dengan senantiasa memuhasabah diri, insyaAllah diri akan menjadi lebih baik dan lebih baik dari semasa ke semasa. Walau adakala dilihat seakan-akan mahu meng'hentam' wanita-wanita, cuba lihat apa motif penulis, apa hajat dan mesej yang ingin disampaikannya. Bukan mahu menuduh atau menyalahkan, sekadar peringatan bersama.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
" Dan tetap tekunlah engkau dalam memberi peringatan, kerna sesungguhnya peringatan itu mendatangkan faedah kepada orang-orang yang beriman."
(Surah Az-Dzariyyat : 55)


Aizat bin Zainudin,
>Sampaikan Walau Satu Ayat<<
~Pelihara Hijabmu, Kerna Dirimu Begitu Berharga~



Related Posts with Thumbnails