Saturday, July 25, 2009

“Jadi SOLEH, dapat SOLEHAH”.,



“JADI SOLEH, DAPAT SOLEHAH”

Sukar betul untuk mencari calon isteri yang solehah. Begitu keluhan ramai lelaki masa kini. Agaknya sesukar mencari permata di dalam timbunan kaca. Memang sudah menjdi hukum dunia (sunnatullah), sesuatu yang berharga itu pasti susah untuk mendapatkannya. Sebab itulah agaknya, ramai ‘bachelor’ yang tidak kahwin-kahwin lagi. Mereka berpegang pada prinsip, biar usia lebih, jangan tersalah pilih.

Alasan ini tentulah bagi mereka yang punya fikrah islamiah (committed dengan Islam), tapi bagi yang tidak ….kahwin lambat ada kemungkinan disebabkan hendak ‘enjoy-enjoy’ dulu. “Tumpang masih bujang, tiada siapa melarang”. Demikian senikata sebuah lagu lama. Buat manusia yang sebegini, elok juga tidak kahwin, kerana jika mereka berkahwin dengan sikap dan fikiran semacam itu,mereka hanya akan merosakkan isteri dan keluarga mereka nanti. Percayalah, momentum kejahatan yang dibuat semasa bujang selalunya akan berterusan sehingga berkahwin. Kata Imam Al-Ghazali “Bukan mudah mencabut pohon kejahatan jika akarnya sudah mencengkam”.

Pemuda pemudi muslim yang ‘islamik’ juga kekadang terperangkap dalam dilema. Mencari dan memilih jodoh yang sesuai, tidak semudah menekan butang handphone untuk memilih penyanyi pilihan dalam Akademi Fantasia atau Malaysian Idol. Hanya yang soleh mengenal solehah dan begitu juga sebaliknya. Jangan harap mengenal manikam jika kita bukan jauharinya!

Terlalu banyak kriteria solehah yang menjadi penanda aras. Secara ‘simple’nya, ciri-ciri solehah yang selalu diperkatakan orang ialah wanita itu mesti solat, taat ibu bapa, baik akhlaknya, menutup aurat, pandai mengaji, rajin berpuasa sunat dan lain-lain. Jika demikian, mencari yang solehah memanglah sukar sebab sudah tidak ramai lagi wanita yang memiliki sifat-sifat semacam itu. Itu baru di sudut lahiriah. Yang lebih sukar ialah ‘menilai’ batiniahnya kerana sifat solehah itu tentulah berada di dalam hati. Yang menutup aurat pun belum tentu solehah. ‘Kulit’ baik, belum tentu isinya baik.


“MUDAH SEBENARNYA”
Tetapi walau sesukar manapun, masih ramai yang mengidam Puteri Gunung Ledang. Jadi tentulah ramai yang hendak tahu apakah panduan atau tips mencari isteri yang solehah. Apakah sukar? Sesukar meminang Puteri Gunung Ledang? Caranya cukup mudah. Tidah payah susah hendak ukur, tilik, nilai dan kaji itu dan ini. Tidak payah ‘meneropong’ iman dan taqwa di dalam dada orang lain. Caranya ialah: Jadikan diri kita dahulu calon suami yang soleh!

Kenal pasti dahulu ciri-ciri suami yang soleh, kemudian cuba bina semua ciri itu di dalam diri sendiri terlebih dahulu. Muhasabah pula soal hati, soal dalaman….muhasabah iman dan taqwa kita sendiri. Bisikkan ke dalam hati, apakah aku telah soleh atau sedang berusaha menjadi soleh? Atau tidak berusaha pun menjadi soleh? Padankan sifat-sifat orang yang soleh dengan diri sendiri. Sudah ada atau belum? Jawab dengan jujur..hai…itu sukar kan? Memang sukar. Tetapi itu tentunya jauh lebih mudah daripada kita hendak mengukur iman di hati orang lain.


“KAEDAH TEPAT”
Inilah kaedah yang paling tepat untuk mendapatkan isteri yang solehah. Mungkin cara ini agak lambat, tetapi inilah cara yang paling tepat. Kaedah ini ada kelebihannya. Sebab kunci kejayaannya terletak pada diri kita sendiri. Lebih cepat kita membina sifat-sifat soleh…maka lebih cerahlah peluang mendapat isteri yang solehah. Semuanya bermula dengan usaha terhadap diri kita sendiri.

Baiklah, itu soal tadbir, soal ikhtiar. Manakala soal takdirnya pula, kaedah ini lebih baik kerana Allah SWT sendiri menjamin kejayaannya. Walaupun mencari jodoh adalah usaha ikhtiar manusia, tetapi Allah juga yang menentukan bahawa lelaki yang soleh adalah untuk wanita yang solehah dan begitulah sebaliknya. Sebab itu, jadilah lelaki yang soleh, nanti Allah akan temukan kita dengan wanita yang solehah. Insyaallah, itulah yang kita harapkan. Tegasnya di sini, Usahakan sebaik Tadbir,kemudian tunggulah sebaik-baik Takdir. Allah berfirman:
“Perempuan-perempuan yang baik adalah untuk lelaki-lelaki yang baik. Manakala lelaki-lelaki yang baik adalah untuk perempuan-perempaun yang baik” (An-Nur 24:26)

Namun, usaha menjadikan diri sendiri soleh (atau solehah bagi wanita) tidaklah menafikan ikhtiar mencari jodoh dengan cara yang makruf dan beradab. Anda boleh bertanya berwakilkan ibu bapa, merisik khabar menerusi kawan-kawan dan lain-lain saluran yang dibenarkan syariat. Cuma apa yang penting ialah usaha menjadikan diri kita soleh/solehah mestilah lebih diutamakan berbanding mencari calon soleh/solehah.


“SEDAR DIRI”
Kita harus malu kepada Allah (dan diri kita sendiri juga), jika kita inginkan jodoh yang baik sedangkan diri kita tidak baik. Kekadang lucu bila mendengar cerita betapa ada pemuda yang tunggang langgang hidupnya di bandar, kaki botol,berpeleseran, berjudi dan lain-lain perbuatan maksiat tetapi bila hendak berumah tangga minta ibu carikan wanita yang solehah di kampung. Maaf, ada di antara mereka yang berkata: mana boleh dijadikan isteri….jadi bini bolehlah. Mereka tidak sedar, yang mereka juga sebenarnya tidak layak diadikan suami, hanya boleh jadi laki!

Namun itulah fitrah tabi’e manusia, walau diri sejahat mana sekalipun tetapi tetap inginkan yang baik. Apa pandangan kita tentang ini? Apakah kaedah ini boleh berjaya? Jika anda seorang wanita, sanggupkah anda menerima lelaki yang semacam itu? Kita tidak persoalkan kewajaran kita mendidik selepas berkahwin nanti, tetapi jika diberi pilihan apakah pilihan anda? Tentulah anda menolak calon suami yang sedemikian. Pada kaum lelaki seperti itu,ingin di ingatkan, tergamakkah kita menipu orang lain dan menipu diri sendiri apabila kita inginkan yang baik sedangkan kita tahu akan keburukan diri sendiri?


“JANGAN DISUKARKAN”
SEPERKARA lagi, ingin di ingatkan bahawa mencari calon yang soleh atau solehah Jangan terlalu di persukarkan. Jangan terlau ideal kerana piawaian soleh atau solehah tidak ada titik tamatnya. Berpada-padalah dan bersederhanalah dengan piawaian soleh atau solehah kita. Jangan terlau ideal, sehinggakan tidak praktikal. Cukuplah dengan tahap yang sederhana sahaja.

Ini kerana pembinaan sifat-sifat soleh/solehah itu adalah sesuatu yang ‘on-going process’ sifatnya. Maksudnya dibina secara berdikit-dikit dan berterusan. Mungkin sebelum kahwin tahap solehahnya rendah tetapi dengan pimpinannya (kita) nanti, tahap solehahnya mungkin boleh dipertingkatkan lagi. Bila sudah menjadi isteri kita, pandai-pandailah mendidiknya.

Tetapi ini bukan bermaksud kita boleh mengambil lewa atau berlebih kurang mengenai soal-soal prinsip. Panduan dan ajaran ISLAM adalah mudah tetapi bukanlah alasan untuk dipermudah-mudahkan. Sifat-sifat lelaki yang soleh pada prinsipnya telah jelas. Oleh itu, jangan ambil mudah soal ‘kesolehan’ diri sendiri. Letakkan satu piawaian yang lebih tinggi buat diri sendiri berbanding bakal pasangan kita nanti. InsyaAllah. ‘Menuju Mardhatillah’.

MSN Onion Icons
Tulisan : Ustaz Pahrol Mohd Juoi


Hadith Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud :
"Apabila seorang wanita itu telah melakukan solat lima waktu, berpuasa bulan Ramadhan, memelihara maruah dan mentaati suaminya maka diserukan kepadanya : Masuklah dari mana-mana pintu syurga yang kamu sukai."
(Hadith riwayat at-Thabrani dari Abdul Rahman bin Auf r.a.)

Rasulullah s.a.w. menganjurkan :
"Sebaik-baik kamu adalah yang baik kepada keluarganya dan aku adalah yang
lebih baik daripada kamu kepada keluargaku."
(Hadith riwayat at-Thabrani)



1 comment:

azma@oye... said...

salam...baca ni teringat lak lagu Anak Soleh dr UNIC...sedap lagu tu...huhu...
saja meninjau...blog yang menarik...hijau dr atas sampai bwh...hehehe...

Related Posts with Thumbnails