Nisfu dlm bahasa arab beerti setengah. Nisfu Sya'aban beerti setengah bulan Sya'aban. Malam Nisfu Sya'aban adalah malam ke-15 Sya'aban iaitu siangnya 14hb Sya'aban. Malam Nisfu Sya'aban merupakan malam yang penuh berkat dan rahmat selepas malam Lailatul Qadr.
Saiyidatina Aisyah r.a. meriwayatkan bahawa Nabi saw tidak tidur pada malam itu sebagaimana yg tersebut dalam sebuah hadis yg diriwayatkan oleh Imam Al-Baihaqi r.a:
"Rasulullah s.a.w. telah bangun pada malam (Nisfu Sya'aban) dan bersembahyang sungguh lama sujudnya sehingga aku fikir beliau telah wafat. Apabila aku melihat demikian aku mencuit ibu jari kaki Baginda s.a.w. dan bergerak. Kemudian aku kembali dan aku dengar Baginda s.a.w. berkata dlm sujudnya, “Ya Allah aku pohonkan kemaafanMu daripada apa yg akan diturunkan dan aku pohonkan keredhaanMu daripada kemurkaanMu dan aku berlindung kpd-Mu daripada-Mu. Aku tidak dapat menghitung pujian terhadapMu seperti kamu memuji diri-Mu sendiri.” Setelah Baginda s.a.w. selesai sembahyang, Baginda berkata kpd Saiyidatina Aisyah r.a. “Malam ini adalan malam Nisfu Sya'aban. Sesunguhnya Allah Azzawajjal telah dtg kpd hambanya pada malam Nisfu Sya'aban dan memberi keampunan kpd mereka yg beristighfar, memberi rahmat ke atas mereka yg memberi rahmat dan melambatkan rahmat dan keampunan terhadap orang-orang yang dengki.”
Hari Nisfu Sya’aban adalah hari dimana buku catatan amalan kita selama setahun diangkat ke langit dan diganti dengan buku catatan yang baru.
Ulama kontemporari masa kini, Syeikh Dr. Yusof al-Qardhawi menyatakan di dalam fatwanya: `'Tentang malam Nisfu Syaaban, tidak terdapat hadis-hadis yang sampai ke martabat sahih yang menyebut tentangnya (amalan-amalan khas di malam Nisfu Sya'aban seperti membaca surah Yaasin sebanyak 3 kali,, doa-doa serta solat-solat sunat khas), kecuali ia berada di martabat hasan di sisi sebahagian ulama, dan terdapat juga sebahagian ulama yang menolaknya dan mengatakan bahawa tidak terdapat sebarang hadis sahih tentang malam Nisfu Syaaban, sekiranya kita berpegang bahawa hadis tersebut berada di martabat hasan, maka apa yang disebut di dalam hadis tersebut ialah Nabi s.a.w. hanya berdoa dan beristighfar pada malam ini, tidak disebut sebarang doa yang khusus sempena malam ini, dan doa yang dibaca oleh sebahagian manusia di sesetengah negara, dicetak dan diedarkannya adalah doa yang tidak ada asal sumbernya (daripada hadis sahih) dan ia adalah salah.''
Beliau menambah lagi: `'Terdapat juga di sesetengah negara yang mereka berkumpul selepas solat Maghrib di masjid-masjid dan membaca surah Yaasin, kemudian solat dua rakaat dengan niat supaya dipanjangkan umur, dan dua rakaat lagi supaya tidak bergantung dengan manusia, kemudian membaca doa yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari kalangan salaf, dan ia adalah doa yang bercanggah dengan nas-nas yang sahih, juga bersalahan dari segi maknanya''. (Al-Qardhawi, Fatawa al-Muasarah (Kuwait: Dar al-Qalam, cet.5, 1990), 2/379-383) Para ulama muktabar lain seperti Syeikh al-Islam Ibn Taimiyah, Imam al-Suyuti, Abu Bakr al-Turtusyi, al-Maqdisi, Ibn Rejab dan lain-lain lagi juga menafikan wujudnya amalan ibadah yang khas pada malam Nisfu Syaaban ini.
Namun, ini bukanlah bererti malam tersebut tidak mempunyai kelebihannya, bahkan terdapat hadis-hadis thabit yang menyebut akan fadilat dan kelebihannya, tetapi tidak dinyatakan tentang amalan ibadah khas yang perlu dilakukan. Maka sebarang ibadah yang dilakukan pada malam tersebut tidak boleh disandarkan dengan mana-mana hadis atau pun menganggapnya mempunyai kelebihan yang khas dan tidak juga dilakukan secara berjemaah. Hal ini telah disebut al-Imam al-Suyuti: `'Dan pada malam Nisfu Syaaban itu padanya kelebihan, dan menghidupkannya dengan ibadah adalah digalakkan, tetapi hendaklah dilakukan secara bersendirian bukan dalam bentuk berjemaah.'' (Rujuk: al-Suyuti, al-amru bi al-ittiba' wa al-nahyu an al-ibtida' (Beirut: Dar al-kutub al-Ilmiyah, cet. 1, 1998), hal 61) b) Hadis tentang kelebihan puasa yang khas pada hari Nisfu Syaaban.
Berhubung dengan amalan puasa yang khas pada Nisfu Syaaban, tidak terdapat hadis sahih yang menjelaskan perkara ini, malah ia adalah hadis yang lemah. Tetapi jika seseorang itu berpuasa berdasarkan amalan Nabi s.a.w. yang memperbanyakkan puasanya pada bulan ini dan termasuk di dalamnya hari Nisfu Syaaban, maka ini adalah suatu amalan yang baik dan digalakkan. Begitu juga jika seseorang itu mengamalkan puasa sunat Hari Putih dan termasuk di dalamnya hari yang ke -15 pada bulan ini atau puasa sunat yang dilakukan pada hari Isnin dan Khamis. Jika puasa ini dilakukan pada Nisfu Syaaban sahaja dengan menganggap ia adalah sunnah, maka inilah yang dilarang.
Menurut Dr Yusof al-Qardhawi: `'Di dalam kaedah syarak, tidak dibolehkan untuk menentukan sesuatu hari khusus untuk berpuasa atau sesuatu malam yang tertentu untuk dihidupkan dengan ibadah tanpa bersandarkan kepada nas syarak kerana sesungguhnya urusan ibadah ini bukanlah urusan yang sesiapa pun berhak menentukannya, tetapi ia adalah hak Allah semata-mata)).(Rujuk: Al-Qaradhawi, Fatawa al-Muasarah, 2/343) c) Hadis tentang amalan akan diangkat pada malam Nisfu Syaaban. Terdapat juga pendapat yang mengatakan bahawa segala amalan manusia akan diangkat pada malam Nisfu Syaaban. Justeru, kebanyakan umat Islam akan menghidupkan malam ini dengan membaca surah-surah tertentu dengan niat supaya dipanjangkan umur, dimurahkan rezeki dan ditetapkan iman. Pendapat ini adalah tidak tepat dan tidak terdapat hadis-hadis sahih yang menjelaskannya.
Demikianlah beberapa perkara yang sering dibincangkan di dalam bulan Syaaban ini. Semoga melalui beberapa hadis yang dibawa ini serta pendapat para ulama, jelaslah kepada kita tentang kedudukan hadis-hadis tersebut di sisi ulama hadis. Ketahuilah sesungguhnya segala perkara yang melibatkan soal pahala, keberkatan, fadilat dan kelebihan adalah hak milik kekal Allah s.w.t. Tidak ada seorang makhluk pun yang boleh mendakwa dan menjanjikan sebarang fadilat atau keberkatan tertentu dengan mereka-cipta amalan-amalan yang tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabat.
Marilah sekali lagi kita menyemak dan memastikan segala amalan ibadah yang kita lakukan ini bertepatan dengan sunnah Rasulullah s.a.w. untuk melayakkan amalan tersebut diterima di samping diiringi dengan keikhlasan kepada Allah s.w.t. Ayuhlah kita bersama-sama membanteras kegiatan penyebaran hadis-hadis palsu dan dusta di kalangan masyarakat kita. Semoga kita semua akan mendapat pertolongan dan diberikan kekuatan oleh Allah s.w.t.
Credit to : Utusan Malaysia Sumber: Lelaman Web Negeri Johor Darul Takzim
1 comment:
Drp Aisyah r.a katanya.. bahawa nabi saw bersabda : Sesiapa yang melakukan sesuatu amalan yang bukan daripada urusan kami (urusan agama) maka ia akan tertolak.. HR Muslim...
Post a Comment