Wednesday, December 2, 2009

Macam Mana Ya Solat Kita?.,



Tiga perkara yang Allah tidak suka dilengah-lengahkan :
i) Solat, apabila telah masuk waktunya
ii) Jenazah untuk dikebumikan, apabila telah siap dimandikan dan dikapankan
iii) Seorang wanita untuk dinikahkan, apabila telah didatangi dengan jodoh yang sesuai

Banyak dari kita dengar azan. Tiap hari, tiap masa, 5 kali sehari. Ramai juga yang tahu menjawab azan pabila ia dilaungkan. Tapi, adakah kita tahu 'maksud' sebenar menjawab azan. Tujuan azan adalah untuk memanggil segala umat manusia bahawa sudah tibanya waktu solat mereka, diperdengarkan pada semua, tidak kira di dalam apa urusan sekalipun. Tetapi, adakah kita benar-benar tiap kali men'jawab' sahutan itu. Renung-renungkan.,

“Seandainya seorang (lelaki) itu tidak pergi ke masjid padahal dia mendengar azan tanpa uzur syar’i yang kuat, maka solatnya (di rumah) TIDAK AKAN DITERIMA.”
(Hadith Riwayat Abu Daud & Ibnu Majah)

Ramai orang tahu solat di masjid lebih baik. Ramai tahu meng'imarahkan rumah Allah suatu amalan yang mulia. Tapi, adakala tiba masa kita merasakan lebih senang solat di bilik atau di rumah sahaja. Tidak perlu bersusah-payah. Betulkah pemikiran kita begitu?.,

Kata Abdullah bin Mas’ud:
“Kalau kamu bersembahyang di rumahmu, maka kamu sudah MENINGGALKAN SUNNAH Rasulullah saw. Dan apabila kamu meninggalkan sunnah-sunnahnya maka SESATLAH KAMU”
(Hadith Riwayat Muslim & Abu Daud)

Ada orang rajin, dan ada orang malas. Ada orang alim, dan ada juga orang jahil. Agak-agaknya kita di golongan mana ya? Ada orang terkejar-kejar melakukan segala amal kebajikan kerana merasakan tidak mencukupi untuk menghadap hari Akhir kelah. Ada juga orang terlalu mudah berpuas hati dengan amal yang dirasakan sudah banyak. Tapi mesti diingat, riak sekali, hancur semuanya. Walaupun sedikit, tetapi jika betul caranya lebih baik dari banyak tapi kurang tepat jalannya.,

Orang bertanya kepada Ibnu Abbas:
“Bagaimanakah dengan seseorang yang berpuasa sepanjang hari dan mengerjakan solat sunat sepanjang malam, tetapi tidak pergi ke masjid untuk solat berjemaah dan solat Jumaat?”
Jawab Ibnu Abbas:
“Dia ialah PENGHUNI NERAKA.”
( Hadith Riwayat At-Tirmizi)

Ramai daripada kita pasti tahu hakikat ini. Tetapi, sejauh manakah kita benar-benar mengejarnya?.,

“Solat berjemaah adalah 27 KALI LEBIH BAIK daripada solat secara bersendirian.”
(Hadith Riwayat Bukhari, Muslim)

Niat itu kepala bagi setiap perbuatan kan? Niat baik, insyaAllah dapat pahala. Kalau dapat dilaksanakan, dapat pula lagi satu pahala. Betul tak? Walaupun kadangkala ada masa kita tersibuk atau mungkin terlalai, jangan biarkan niat kita hanya tinggal sebagai niat sahaja.,

“Seseorang yang berwudhuk dengan sempurna (di rumah) kemudian pergi ke masjid, dan didapatinya solat berjemaah sudah selesai, akan menerima PAHALA SAMA BANYAK dengan orang-orang yang solat berjemaah. Tidaklah kurang suatu apa pun daripada pahala orang-orang yang sudah solat berjemaah.”
(Hadith Riwayat Abu Daud, An-Nasa’i & Al-Hakim)

Wallahu'alam.,

Aizat Zainudin,
>>SWSA<<



No comments:

Related Posts with Thumbnails