Assalamu'alaikum.,
Alhamdulillah, syukur diucapkan pada Allah s.w.t. yang masih mengurniakan nikmat Iman dan Islam pada kita sehingga ke hari ini. Juga selawat ke atas junjungan baginda, Nabi Muhammad s.a.w. yang dengan kudrat usahanya membawa wahyu Allah, telah menjadi asbab untuk kita bergelar seorang Muslim pada saat ini.
Hari ini cuma ingin berkongsi sedikit cerita. Alhamdulillah, baru sahaja kembali dari Masjid Tok Guru di Pulau Melaka, usai mengerjakan solat Maghrib dan Isya' berjemaah di sana. Hari ini, tidak tahu kenapa Allah beri keinginan di hati untuk solat di sana. Mungkin sahaja kerna ada masa senggang sempena cuti ini. Tetapi, tentu Allah ada sebab-Nya yang tersendiri untuk diri ini. Kebetulan, malam ini malam Khamis, dan langkah kanan nampaknya pabila berkesempatan mendengar kuliah Maghrib dari Tok Guru. Tajuk yang dibincangkan beliau adalah mengenai pernikahan. Berikut saya sertakan beberapa points yang sempat saya garap dari ceramah beliau :
i) Hikmah pernikahan sebagai memenuhi tuntutan agama dan mengikut sunnah Baginda, di samping memberi ketenteraman pada jiwa dan rohani bagi suami dan isteri.
ii) Kepentingan menjauhi zina (zina mata, zina hati, zina tangan) yang menjatuhkan maruah kita sebagai seorang Muslim.Pernikahan juga salah satu wasilah menjauhi zina.
iii) Pernikahan bukan semata-mata untuk melepaskan nafsu, sebaliknya bertujuan untuk mendapat zuriat sebagai penerus generasi. Dengan pernikahan, umat akan bertambah banyak. Tentu ingat kan betapa Nabi kita bangga dengan jumlah umatnya yang begitu banyak pada hari Akhir kelak.
iv) Kepentingan peranan suami isteri dan ibu bapa dalam mendidik anak-anak untuk menjadi anak yang soleh dan solehah, sebagaimana pentingnya mencorakkan 'kain putih'. Perlu diingat, doa anak yang soleh/solehah adalah di antara amalan yang berkekalan buat seorang anak Adam pabila telah tamat riwayatnya.
v) Dan sebelum pernikahan, Tok Guru menekankan betapa kritisnya dalam memilih bakal pasangan hidup kita. Tok Guru pesan, cari sebagaimana yang Nabi suruh, yang beragama berbanding yang cantik, berharta, dan tinggi darjatnya. Cari yang 'zattiddin', kalau nak yang cantik, cari yang cantik dan baik agamanya. Begitu jugalah berikutnya.
vi) Kepentingan membaca doa sebelum mendatangi pasangan. Tok Guru turut ajarkan pada semua jemaah. Kerna doa ini begitu penting agar zuriat yang bakal dianugerahi jauh dari pengaruh syaitan.
vii) Tok Guru juga berkongsi cerita gimana uniknya Allah jadikan wanita yang mana pehanya lebih berdaging dari lelaki. Jadi, bilamana selamat dilahirkan dan diletakkan di atas peha ibu, anak akan terasa kehangatannya lebih berbanding jika diletak di atas riba ayah. Jadi, tidak hairanlah lebih ramai anak sayangkan ibunya lebih dari ayahnya. Subhanallah.
viii) Tok Guru sempat menegur adat yang diamalkan masyarakat kita semasa majlis pernikahan diadakan, iaitu persandingan. Tok Guru menyanggah mana-mana pasangan yang bersanding di khalayak ramai, kerna itu tidak mengikut syariat. Pasangan kita bukannya untuk tontonan awam. Kalau mahu dibuat juga, bersandinglah di dalam rumah, yang mana cuma dilihat nantinya oleh ahli-ahli keluarga sahaja, tidak orang awam. Tetapi, nak berubah tidak boleh secara mendadak, perlukan masa.
ix) Melazimi basmalah di dalam apa jua amalan kita seharian. Supaya Allah lebih dekat dengan kita, dan juga agar setiap amalan kita mendapat keberkatan-Nya.
Nabi Muhammad SAW pernah bersabda :
“Seorang wanita dikahwini kerana empat perkara iaitu kerana hartanya, kerana kecantikannya, kerana keturunannya dan kerana agamanya. Maka pilihlah wanita yang taat beragama, nanti engkau akan beruntung.”
(Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)
Saya kira peluang ini adalah berharga buat saya, kerna dapat solat yang paling dekat saya kira dengan Tok Guru. Syukur pada-Nya. Bukan senang nak memperoleh peluang sebegini, moga-moga diberi peluang lagi di lain masa. Dalam masa yang sama, ketika tertenung susuk tubuh Tok Guru saya jadi risau akan tahap kesihatan Tok Guru. Kelihatannya begitu kurus dan uzur sekali, namun kudratnya masih kuat menyampaikan dakwah. Malu saya jika nak dibandingkan dengan diri sendiri. Moga Allah beri kekuatan pada diriku untuk terus kuat berdakwah dan berislah. Kawan-kawan juga sama ya. Moga Allah juga terus menganugerahkan Tok Guru supaya terus sihat dan selamat hingga ke akhirnya.
Itu dulu setakat ini. InsyaAllah, nanti kalau ada apa-apa yang menarik lagi, akan saya kongsikan dengan anda semua. Wallahu'alam. Sehingga ketemu lagi.,
Aizat bin Zainudin,
>>Sampaikan Walau Satu Ayat<<
No comments:
Post a Comment