Tuesday, April 20, 2010

Ramai Makan Dengan Tangan Kanan, Tetapi Pabila Minum.,



Assalamu'alaikum.,

Sengaja saya lemparkan suatu persoalan sebagai tema untuk entri saya kali ini. Saya ingin sekali menyentuh sesuatu yang sangat menjadi kebiasaan bagi kebanyakan dari kita, iaitu soal makan dan minum kita, dari aspek adab-adabnya. Ada satu prinsip yang saya pegang, "Betulkan dengan yang BIASA, biasakan dengan yang BETUL". Ini kerna kebiasaan yang sering manusia praktikkan selalunya kurang tepat, perlu dibetulkan, sedangkan perkara yang betul, masih kurang dari segi amalannya.

Jika kita lihat di mana-mana sahaja orang makan dan minum, termasuk diri kita sendiri, pabila makan ramai yang guna tangan kanan. Alhamdulillah, bagus. Teruskan ya. Yang mana masih terguna tangan kiri, cuba-cubalah elakkan ya. Itu pabila makan, tetapi perasan tak bila minum ramai yang ter'biasa' menggunakan tangan kiri. Emm, ini sesuatu yang perlu diperbetulkan, kerna lagi-lagi kita sebgai seorang Muslim, ada adab-adab yang Nabi Muhammad s.a.w. pernah ajar pada kita. Makan dan minum seeloknya biarlah dengan tangan kanan, bukan tangan kiri. Kalau tidak sengaja, tak mengapa. Cuma jangan disengajakan sudah.

Nabi Muhammad s.a.w. bersabda yang mafhumnya :
“Apabila kamu ingin makan, maka makanlah dengan tangan kanan dan apabila ingin minum, maka minumlah dengan tangan kanan. Sesungguhnya, syaitan makan dan minum dengan tangan kiri.”
(Hadith Riwayat Imam Muslim)

Majoriti manusia di muka bumi ini Allah ciptakan mempunyai dominan di otak kiri. Ini bermakna, majoriti dari kita akan lebih 'right-handed' dalam pelbagai urusan yang kita lalui sehari-hari. Tetapi ramai juga dari golongan 'left-handed' masih tergolong di bawah dominan otak kiri. Golongan 'kanan' ini akan lebih cenderung menggunakan tangan kanan, termasuk ketika bab makan. Untuk mereka yang hendak minum selepas makan, banyak yang akan gunakan tangan kiri, dengan alasan tangan kanannya 'kotor'. Ini satu tanggapan yang salah, yang mana tangan kita tidak kotor, cuma makanan, bukan sesuatu yang najis. Betul tak? Jadi, yang dianjurkan adalah dengan memegang gelas dengan tangan kiri, dan meletakkannya di atas sokongan tangan kanan. Tangan kiri cuma membantu tangan kanan sahaja.

Lagi satu situasi yang sering saya perhatikan, disebabkan ramai yang right-handed, jadi kecenderungan membuka penutup botol minuman menggunakan tangan kanan lebih tinggi. Ini kemudiannya akan menyebabkan seseorang itu minum dengan tangan kirinya. Mungkin dek kerana terbiasa, jadi mungkin terlupa. Sama-sama kita perbaiki yang mana boleh. InsyaAllah.

Terdapat juga sepotong hadis lain yang menceritakan Rasulullah saw menegur seorang sahabat yang didapati baginda sedang minum dengan tangan kiri, lalu diarahkan sahabat tersebut menukar tangannya. Sahabat berkata, "Aku tidak biasa ya Rasulullah", jawab baginda, "Tidak, engkau akan biasa". Balasnya lagi, "Aku tidak biasa", jawab baginda, "Tidak, engkau akan biasa". Balas sahabat lagi, "Aku tidak biasa", lalu dengan jawapan ketiga beliau ini, serta-merta tangan beliau menjadi keras, gara-gara inkar pada arahan Rasulullah saw. Sabda Rasulullah saw, "Jika aku berdoa Allah ampunkan engkau, mahukah engkau tukar tanganmu (ketika minum)?". Balasnya "Ya". Lalu Rasulullah saw mendoakan lelaki tersebut dan tangannya kembali seperti sediakala.

Apapun, samada kita mahu makan ataupun minum, mulakan dengan BISMILLAH dan akhiri dengan ALHAMDULILLAH. InsyaAllah, lebih diberkati-Nya. Bersama kita "Betulkan yang BIASA, dan biasakan dengan yang BETUL".,

Aizat Zainudin,
>>Sampaikan Walau Satu Ayat<<




No comments:

Related Posts with Thumbnails