Tuesday, February 15, 2011

Aku Mencintaimu ya Rasulullah.,


"Allahuma solli 'ala Muhammad, wa'ala aali Muhammad, wa sohbihi wa barik wa sallim."

Firman Allah s.w.t. yang mafhumnya berbunyi :
"Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya bersalawat (memuji dan berdoa) ke atas Nabi (Muhammad s.a.w). Wahai orang-orang yang beriman bersalawatlah kamu ke atasnya serta ucapkanlah salam dengan penghormatan."
(Surah Al-Ahzab : ayat 56)



Selawat dan salam kepada Baginda, dan juga keluarga dan sahabat Baginda. Moga senantiasa dalam rahmat dan perlindungan-Nya. Sengaja saya mulakan entry kali ini dengan selawat ke atas Baginda Nabi Muhammad s.a.w. Kebetulan hari ini (15 Februari 2011) adalah hari Maulidur Rasul, simbolik saat kelahiran insan mulia ini ke dunia, sebagai amanah dari Tuhan untuk membimbing manusia kepada yang Maha Esa. Selawat kepada Nabi S.A.W. adalah merupakan ibadah yang mulia dan terpuji, mengandung berbagai-bagai kelebihan dan mendapat pertolongan dan perlindungan yang istimewa dari Nabi S.A.W. serta memperolehi ganjaran yang besar dari Allah di hari akhirat kelak. Diantara kelebihan selawat adalah seperti berikut:


1. Mendapat Syafaat Nabi S.A.W.

Sabda Nabi S.A.W. :

“Barang siapa yang berselawat kepadaku pada waktu pagi sepuluh kali dan pada waktu petang sepuluh kali, ia akan memperolehi syafaatku pada hari kiamat.”

(Hadis Riwayat At-Tabrani)


2. Mendapat perlindungan dan pembelaan dari Nabi S.A.W.

Sabda Nabi S.A.W. :

“Barangsiapa berselawat kepadaku di sisi kuburku maka aku mendengarnya, barangsiapa berselawat kepadaku dari jauh maka selawat itu diserahkan oleh seorang malaikat yang menyampaikan kepadaku dan ia dicukupi urusan keduniaan dan keakhiratan dan aku sebagai saksi dan pembela baginya.”

(Hadis Riwayat Al-Baihaqi dan Al- Khatib)


3. Mendapat keampunan dosa dari Allah.

Sabda Nabi S.A.W. :

“Barangsiapa yang berselawat kepadaku satu kali, maka Allah berselawat kepadanya sepuluh kali selawat dan Allah menghapus sepuluh kesalahan (dosa) dan mengangkat sepuluh darjat kepadanya.”

(Hadis Riwayat Ahmad, An-Nasaie & Al-Hakim)


Sabda Nabi S.A.W. dari Ubai bin Ka’ab :

“Aku bertanya, wahai Rasulullah! Sesungguhnya aku memperbanyak selawat, maka berapakah aku jadikan untukmu dari selawatku? Nabi bersabda: Apa yang kamu kehendaki. Ia berkata: kataku: “Seperempat.” Sabda Nabi: “Apa yang kamu sukai dan jika kamu tambah maka itu yang lebih baik bagi kamu”. Kataku: “Apakah sepertiga?” Sabda Nabi: “Apa yang kamu sukai,jika kamu tambah itulah yang lebih baik bagi kamu.” Ia bertanya: “Apakah aku jadikan selawatku buatmu semuanya.” Nabi bersabda: “Jika demikian maka dicukupilah cita-citamu dan diampuni dosamu.”

(Hadis Riwayat Ahmad, At-Tirmizi & Al-Hakim)


4. Mendapat Rahmat dari Allah.

Sabda Nabi S.A.W. :

“Barangsiapa berselawat kepadaku satu kali, maka Allah menurunkan rahmat kepadanya sepuluh kali.”

(Hadis Riwayat Muslim)


“Barangsiapa berselawat kepadaku di hari Jumaat seratus kali maka ia datang di hari Kiamat dengan cahaya, sekiranya dibahagi antara makhluk semuanya maka cahaya itu akan memenuhinya.

(Hadis Riwayat Abu Nu’aim)


5. Mendapat Hajat Dunia & Akhirat

Sabda Nabi S.A.W. :

“Barangsiapa berselawat kepadaku dalam sehari seratus kali, maka Allah datangkan baginya seratus hajat, tujuh puluh untuk akhirat dan tiga puluh untuk di dunianya.”

(Hadis Riwayat Ibnu Majah dari Jabir r.a.)


6. Digembirakan Dengan Syurga

Sabda Nabi S.A.W. :

“Barangsiapa berselawat kepadaku dalam sehari seribu kali, maka ia tidak akan mati sehingga ia digembirakan dengan syurga”

(Hadis Riwayat Abu As-Syaikh dari Anas r.a.)


Banyak lagi manfaat di sebalik selawat ke atas Baginda. Antara lainnya :

1. Memperolehi limpah rahmat dari Allah
2. Ditulis sepuluh kebajikan
3. Dihapuskan sepuluh kesalahan
4. Diangkat sepuluh darjat
5. Memperolehi kesempurnaan iman
6. Menjauhi dari kerugian dan penyesalan
7. Tergolong sebagai mereka yang soleh
8. Mendekatkan diri kepada Allah S.A.W.
9. Memperolehi syafaat Nabi S.A.W.
10. Memperolehi hubungan yang rapat dengan Nabi S.A.W.
11. Menghilangkan kesusahan dan melapangkan rezeki
12. Melapangkan dada dan mententeramkan jiwa
13. Menghapuskan dosa dan menutupkan aib
14. Terselamat dari kebingungan di hari akhirat
15. Menjadi sedekah bagi yang tidak mampu bersedekah
16. Terhindar dari kefakiran
17. Dipandang sebagai orang yang mencintai Nabi S.A.W.
18. Memperolehi keberkahan dalam hidup
19. Terhindar dari mereka yang bakhil
20. Menjadikan sebab doa diterima oleh Allah S.W.T.
21. Memudahkan jalan bagi memasuki syurga
22. Menjadi zakat dan pembersih diri
23. Memperolehi selawat dari Allah dan para malaikat
24. Memperolehi pujian seluruh makhluk di bumi dan di langit
25. Memenuhi hak Nabi sebagai suatu tugas ibadah
26. Memperolehi petunjuk dan menghidupkan hati
27. Tergolong dalam mereka yang tidak melupai Nabi S.A.W.
28. Menghilangkan rasa dahaga dan panas matahari Padang Mahsyar
29. Dapat meneguhkan telapak kaki ketika meniti Titian Sirat di akhirat
30. Terkabul segala hajat dan cita-cita



Moga dengan harapan selepas ini kita faham, lebih mengerti kenapa kita digalakkan berselawat. Perlukah aku berselawat ke atas Baginda? Jawapannya YA, kerna banyak kelebihan disebaliknya.. Jangan hanya sekadar terikut, atau mengikut. Bila aku perlu berselawat, adakah hanya pada hari Maulidur Rasul? Sekali-kali TIDAK. Lazimi selawat ke atas Baginda sekerap boleh, bila-bila masa, di mana-mana sahaja.

Mudah-mudahan dengan selawat ke atas Baginda, kita kan memperoleh pahala, berkat, rahmat Allah, serta syafaat Baginda di hari Akhir kelak. InshaAllah.,



No comments:

Related Posts with Thumbnails