Tuesday, June 29, 2010

Alhamdulillah, Syukur.,



"Alhamdulillah, Syukur". Inilah tema yang saya kira paling tepat untuk entry saya kali ini. Segala puji, kata-kata syukur saya panjatkan buat Illahi, yang selama ini senantiasa berada disamping diri ini, di kala senang, juga dikala genting, getir, dan susah payah. Entry kali ini mungkin lebih berkait dengan pengalaman hidup yang saya dan sahabat-sahabat yang lain lalui baru-baru ini, iaitu mengenai 'Elective Remedial Posting' kami di USM.

Bermula 23 Mei lepas, sehinggalah tempoh sebuan selepas tarikh itu, adalah merupakan antara detik-detik yang paling getir buat saya dan juga sahabat-sahabat yang 'senasib' dengan saya perlu lalui. Ini merupakan antara saat-saat kritikal yang pernah saya alami di sepanjang tempoh bergelar pelajar perubatan ini. Mungkin ramai yang diluar sana yang menganggap berada di bidang perubatan ini sesuatu yang menyeronokkan, boleh buat kita jadi terkenal, dan juga sesuatu yang lumayan kerna ianya antara cita-cita yang popular buat anak-anak kecil, juga tidak terkecuali buat ibubapa. Bak kata pepatah, 'Hanya jauhari mengenal manikamnya'. Tentu jua kami sendiri yang melalui kehidupan di alam perubatan ini lebih mengetahui gimana mencabarnya alam yang menjadi pujaan ramai ini.

Memandangkan sebilangan dari kami (termasuk saya), adakalanya kurang bernasib baik ketika menjalani postings (major & minor) ketika di tahun 4 yang lalu. Jadi, bagi yang mana melebihi dua posting terpaksa mengulang tahun, bagi yang kurang bernasib baik untuk satu atau dua postings dikehendaki melalui program remedial selama sebulan di USM, dan bagi yang lepas untuk kesemua posting berpeluang untuk membuat elektif di hospital-hospital yang dipilih.

Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. pernah bersabda:
”Mukmin yang kuat lebih disukai oleh Allah daripada mukmin yang lemah. Namun pada kedua-duanya ada kebaikan. Berjaga-jagalah terhadap perkara yang boleh mendatangkan kebaikan kepada engkau, pintalah pertolongan daripada Allah. Sekiranya engkau ditimpa sesuatu musibah, maka jangan engkau berkata:”KALAULAH aku lakukan begini maka sudah pasti lain yang berlaku. Tetapi katakanlah:”Itu merupakan taqdir Allah dan Dia melakukan apa yang dikehendaki-Nya, sesungguhnya ‘KALAU’ akan membukakan pintu amalan syaitan.”
(Hadith Riwayat Muslim)

Alhamdulillah, masih diberi peluang oleh Allah untuk membuat remedial. Walaupun terasa getir dan mencabarnya sepanjang tempoh sebulan ini, namun masih berasa bersyukur kerana Allah masih memberi saya dan beberapa sahabat yang lain peluang untuk mencuba sekali lagi. Mungkin ini jalan yang Allah mahu untuk kami semua lalui sebagai suatu tarbiyyah dari-Nya. Dalam hati, terasa duka saat membayangkan nasib sahabat-sahabat kami yang lain yang terpaksa mengulang tahun 4 ini. Sememangnya ujian sebegini bukannya mudah, dan bukan semua mampu untuk menerima lantas cuba mengatasinya, namun insyaAllah dengan izin-Nya aku yakin yang mereka semua ini MAMPU untuk diuji sebegini rupa, dan aku juga yakin mereka MAMPU untuk berjaya kelak, bahkan mungkin lebih hebat lagi. InsyaAllah, aminn.

Aku amati maksud hadith diatas yang pernah Rasulullah s.a.w. sabdakan pada umatnya ketika itu, dan aku tahu kami semua (yang 'senasib' mahupun bukan) perlu kuat dalam apa jua perkara. Lagi pula , kita yang bergelar Muslim, perlu menjadi tauladan bagi penganut agama. Tabah, kuat azam, tinggi tekad, tidak kenal erti putus asa, mencuba sehabis mungkin, berdo'a, bertawakkal, dan senantiasa mempunyai pengharapan yang baik pada Allah s.w.t. itulah yang perlu terus kami semua pegang. Kan Allah lebih suka hamba-Nya yang KUAT, bukannya yang LEMAH, jadi seharusnya kita tunjukkan kita ini sememangnya KUAT. Bagi saya , dan saya juga percaya bagi yang lain jua, bila tiba suatu saat kita ditimpa musibah, terasa lemah, dipandang rendah, selalunya akan terbit bicara-bicara "Kalaulah aku begini, kalaulah aku begitu, tentu semuanya kan jadi lebih baik". Namun, aku tahu istilah "KALAU" itu sendiri adalah dari syaitan yan senantiasa cuba untuk menyesatkan umat manusia, supaya menyalahkan taqdir buruk yang menimpanya. Sedangkan kita tahu Allah tidak akan sekali-kali menzalimi hamba-hambaNya (mahupun menguji hamba-hambaNya di luar kesanggupan mereka), malahan manusia itulah yang sering menzalimi diri mereka. Siapalah kita ini jikalau hendak dibandingkan dengan Dia yang Maha Kuasa. Kita cuma sekecil-kecil makhluk yang menumpang di dunia-Nya, dan senantiasa bergantung pada kekuasaan-Nya. Sebolehnya, janganlah kita menyalahkan TAQDIR kerna mungkin bila dimuhasabah kembali ianya sebenarnya kerna kekhilafan dan kekurangan TADBIR kita.

Jadi, selama sebulan kami di USM, dengan itu bermulalah episod yang penuh suka, duka, gementar, dan penuh dengan kejutan yang menggerunkan. Sebulan yang walaupun jika kebiasaanya dilihat amat sebentar, namun kami merasakan seolah-olah masa bergerak begitu perlahan untuk berlalu. Bermacam-macam perasaan yang kami rasakan untuk menghabiskan tempoh sebulan ini. Lagi pula, saya termasuk beberapa sahabat saya seperti Fazli, Aliff Ridzwan, Fadhli, Ruzaini, Zaimah, Roga, Hafizah, Hanis, dan beberapa sahabat yang lain terpaksa melaluinya dengan dua kali ganda bebanan, memandangkan kami semua tidak bernasib baik untuk 2 major postings sebelum ini. Memang kami tahu untuk pass assessmentuntuk remedial kali ini kami MESTI LULUS untuk End-posting exam, tetapi pabila ditambah dengan requirement seperti full attendance to class, clinic, ward round, case presentations to supervisor, logbooks (yang macam-macam nya), procedures to be witnessed/performed, cover case/patient (malam-malam), di dalam masa yang begitu singkat (pembelajaran selama 12 minggu di'compact'kan ke dalam 4 minggu sahaja), kami tahu ini sememangnya sutu cabaran yang amat besar. Sahabat-sahabat kami yang mengulang untuk 1 postig sahaja sudah merasai tekanannya, apatahlagi kami yang minoriti ini. Double the postings, double the challenge, double the exam (mujurlah requirementnya diseparuhkan).

Dari Imam Tirmidzi diriwayatkan yang mafhumnya :
"Suatu hari aku pernah berada di belakang Nabi s.a.w. lalu beliau bersabda :‘Hai anak, aku akan mengajarkan kepadamu beberapa kalimat (artinya): Jagalah Allah, niscaya Dia akan menjagamu, Jagalah Allah niscaya kamu dapati Dia ada di hadapanmu, bila kamu meminta, mintalah kepada Allah, dan bila kamu minta pertolongan, mintalah pertolongan kepada Allah. Ketahuilah bahwa umat, seandainya mereka bersepakat untuk memberimu manfaat dengan sesuatu, niscaya mereka tidak akan dapat memberimu manfaat apa-apa kecuali dengan apa yang telah Allah taqdirkan buatmu, dan seandainya mereka bersepakat untuk mencelakakanmu dengan sesuatu, niscaya mereka tidak dapat mencelakakanmu sedikitpun kecuali dengan apa yang Allah telah taqdirkan atasmu, pena-pena telah terangkat, dan lembar tulisan pun telah kering."
(Hadith riwayat At-Tirmidzi)

(Akan bersambung lagi. Sabar ye.,)



No comments:

Related Posts with Thumbnails