“Dalam Banyak-banyak Kotak, Kotak Apa Yang Paling Berdosa?.”
Ini adalah satu teka-teki yang kebetulan saya dengar ketika melewati rancangan-rancangan televisyen di TV9, kalau saya tak silap. Teka-teki ini diajukan oleh seorang ustaz buata anak-anak murid di dalam kelas tajwidnya. Emm, agak-agak apa ya jawapannya? Ada sesiapa yang tahu dan mahu jawab? Boleh angkat tangkat, berdiri, dan berikan jawapannya. Anggap sahaja saya sedang mendengarnya.
Dalam entry kali ini, saya cuma mahu kita sama-sama muhasabah dan renungkan akan suatu senario yang sememangnya serius buat kita yang bergelar Muslim, namun sering dipandang enteng oleh masyarakat kita yang bangga menggelarkan diri mereka menganut Islam. Dari dulu, kita sering dengar ungkapan di bawah ini:
‘Solat Itu Tiang Agama, Barangsiapa Yang Mengerjakannya Seakan-akan Menegakkan Agamanya, dan Barangsiapa Yang Meninggalkannya Seakan-akan Meruntuhkan Agamanya’
Ramai yang tahu akan kenyataan ini, tetapi hakikatnya masih ramai daripada kita yang tidak menjaga akan perihal solatnya. Ada kajian yang menunjukkan hampir 80-90% daripada masyarakat Muslim di Malaysia yang tidak solat !!!. Betulkan fakta saya ini andai saya tersilap. Saya cuma mahu kita betul-betul sedar akan betapa ramai dari kita yang mengaku orang Islam, mengaku Allah s.w.t. sebagai Tuhannya, mengaku Nabi Muhammad s.a.w. sebagai rasul-Nya, mengaku beriman dengan 5 Rukun Islam dan 6 Rukun Iman, namun mengabaikan antara perintah-Nya yang terpenting, iaitu SOLAT. Cuba lihat diri kita, ibu bapa kita, adik-beradik kita, saudara-mara kita, adakah kita semua telah betul-betul menjaga solat, sebelum kita luaskan skop kita kepada masyarakat disekeliling kita. Kalau sudah sempurna ataupun menuju ke arah sempurna, alhamdulillah saya ucapkan. Namun jika masih belum, menunjukkan Islam belum betul-betul tertegak di dada kita.
Firman Allah s.w.t. yang mafhumnya berbunyi :
“Maka CELAKALAH orang yang solat, iaitu orang-orang yang lalai terhadap solatnya, yang berbuat ri’a.”
(Surah Al-Ma’un : ayat 4-6)
Lihatlah, betapa kerasnya celaan Allah terhadap mereka yang solat, tetapi lalai terhadapnya. Definisi ‘lalai’ di dalam ayat ini merujuk kepada mereka yang tidak menghargai serta melalaikan pelaksanaan dan waktu-waktu solat, lebih mudah jika saya terangkan sebagai mereka yang tidak solat dan juga tidak menjaga waktu solat seperti melewat-lewatkannya. Juga Allah mencela orang-orang yang berlaku ri’a, iaitu melalukan sesuatu bukan untuk mecari redha-Nya, tetapi untuk kemasyhuran dan mencari pujian makhluk semata-mata.
Ayuh semua, kita islahkan diri dan yang lain, moga kita kan kekal di dalam keredhaan-Nya. Mulakan dari lingkungan ahli keluarga kita sebelum bergerak ke peringkat berikutnya. Mari lekas kita berhijrah, selagi masih punya kesempatan, memupuk azam, memperbaik diri, dan saling menasihati dan mengingati ila mardhatillah (menuju redha-Nya). Kita cari redha Allah, tetapi bukan murka-Nya. Ingatlah bahawa Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum, melainkan usaha itu datang dari kaum itu sendiri. Janganlah kita bertangguh sehinggakan datang bala dari-Nya, Allah hapuskankita semuanya, dan menggantikan kita dengan suatu kaum yang jauh lebih baik. Na’uzubillahi min zalliq. Mohon dijauhkan.
p/s: Sebelum terlupa, jawapan bagi teka-teki di atas adalah ‘Ko Tak Solat’. Mungkin agak sinis jawapannya, tetapi bermakna. Renung-renungkan.,
Aizat Zainudin,
>>Sampaikan Walau Satu Ayat<<
1 comment:
Ohh.. Baru faham maksud jawapan nye lepas baca. 1st time dengar teka teki ni dalam iklan dkt ikim fm,, mula mula tak faham. Hehe. Dangat bagus teka teki ni.
Post a Comment